SEJARAH, PEMBANGUNAN DAN PERKEMBANGAN


Surau Madrasah Muhammadiah ad-Diniah

Pada tahun 1937, seorang tokoh tempatan di Sabak Bernam bernama Haji Muhammad Bin Haji Ali, telah membina sebuah surau untuk dijadikan pusat ibadah penduduk setempat. Pada tahun 1950-an, DYMM Sultan Selangor, Tuanku Hishamuddin telah merasmikan surau ini dan nama Madrasah Muhammadiah ad-Diniah diabadikan sebagai mengambil sempena nama pengasasnya, Haji Muhammad Bin Haji Ali.

Sejak sebelum merdeka, surau ini telah dijadikan pusat penyebaran ilmu agama bagi manfaat penduduk setempat. Haji Muhammad sendiri telah berusaha gigih membawa masuk guru-guru agama supaya ditempatkan mengajar di situ. Perkembangan pendidikan agama semakin pesat berlangsung di tapak surau itu sehingga mendorong Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membina beberapa bangunan sekolah di sekitar bangunan surau.

Pada sekitar tahun 1980-an, atas keperluan kawasan yang semakin terhad, JAIS telah membina sebuah sekolah agama integrasi tidak jauh dari lokasi surau ini. Sebagai mengenang jasa Haji Muhammad, sekolah integrasi ini masih lagi mengekalkan nama Muhammadiah dalam daftar namanya.

Apabila bangunan sekolah yang baru ini telah mula beroperasi, Madrasah Muhammadiah ad-Diniah telah ditinggalkan kosong.


Ustaz Mohd Sharif Bin Musa al-Hafiz


Beliau yang juga turut dikenal dengan panggilan Maulana Sharif, adalah seorang alim yang menamatkan pengajiannya di Pakistan. Maulana Sharif bukanlah baru dalam usaha menubuh dan mentadbir sekolah agama berformatkan madrasah tahfiz, bahkan beliau adalah pengasas kepada Maahad Tahfiz Ummul Qura, Sabak Bernam yang ditubuhkan pada tahun 1997.

Pautan: maahadtahfizummulqura.blogspot.my

Sejak dari mula kegiatan beliau secara aktif dalam institusi pendidikan Islam, beliau telah seringkali diajukan permintaan untuk menganjurkan aktiviti cuti sekolah bagi mendidik anak-anak remaja yang sedang menjalani percutian sekolah agar didedahkan kepada suasana tarbiah madrasah tahfiz yang lebih tradisional berbanding suasana sekolah-sekolah konvensional dewasa ini.

Pada pertengahan tahun 2011, al-Fadzil Ustaz telah singgah melawat tapak sekolah agama lama JAIS, Madrasah Muhammadiah ad-Diniah, yang telah dikosongkan ketika itu. Hasil daripada lawatan beliau itu, tercetuslah idea awal untuk menjadikan bangunan terbiar itu sebagai tapak program cuti sekolah.

Maka beliau pun memulakan urusan-urusan rasmi dengan pihak JAIS untuk mendapatkan kebenaran menggunapakai fasiliti bangunan bagi tujuan tersebut. Hasilnya, pada Disember 2011, Kem Motivasi dan Bina Sahsiah Remaja telah berjaya dianjurkan di tapak Madrasah Muhammadiah ad-Diniah.

Kem Motivasi dan Bina Sahsiah Remaja 2011

Program yang berjalan selama dua minggu ini, mendedahkan kepada peserta-peserta tentang teknik-teknik membaca dan menghafal al-Quran dengan efektif, kaedah-kaedah meningkatkan khusyuk dalam solat, asas-asas fardhu ain secara praktikal, penerapan amalan sunnah seharian dan latihan dalam amalan dakwah.

Selepas selesai program itu, Maulana Sharif telah menerima banyak maklumbalas positif daripada para ibu-bapa yang terlibat. Ramai juga yang secara langsung menyatakan hasrat untuk menyerahkan anak-anak jagaan mereka bagi mengikuti pengajian tahfiz secara sepenuh masa. Hasil dari maklumbalas inilah, tercetusnya idea untuk menubuhkan sebuah sekolah berformatkan madrasah tahfiz yang baru.

Penubuhan Maahad Tahfiz Darul Itqan al-Muhammadi

Sebagai usaha merealisasikan idea awal penubuhan, Maulana Sharif kemudiannya memohon kepada pihak JAIS untuk meneruskan gunapakai bangunan tapak sekolah tersebut. Permohonan gunapakai kali ini adalah bersifat jangkamasa panjang.

Setelah melalui banyak proses yang rumit, pada Januari 2012, Maahad Tahfiz Darul Itqan al-Muhammadi (MTDIM) telah ditubuhkan. Modus operandi utama sekolah ini menumpukan kepada pembaik bacaan dan penghafalan keseluruhan al-Quran. Pada awal penubuhannya, MTDIM berjaya mengumpulkan 20 orang pelajar generasi pertama bagi mengikuti program pengajian yang ditawarkan.


Baikpulih Fasiliti Bangunan

Sejak 2012, jumlah kemasukan pelajar ke MTDIM semakin bertambah. Maulana Sharif melihat keperluan yang semakin mendesak untuk memperbaiki infrastruktur bangunan peninggalan sejarah yang telah uzur tersebut. Beliau memulakan usaha mencari dana dari pelbagai sumber. Akhirnya, pada tahun 2015, al-Fadzil Ustaz berjaya mengumpulkan sejumlah RM100,000 dan dimanfaatkannya wang tersebut untuk memperbaiki dan menaiktaraf fasiliti bangunan.



Tragedi Kebakaran


MTDIM telah berkembang dengan semakin pantas. Pada awal tahun 2016, jumlah pelajar-pelajar direkodkan seramai 110 orang. Pengajian-pengajian yang ditawarkan bukan lagi terhad kepada pengajian Tahfiz, bahkan pengajian Alim juga mula diwujudkan. Kesemua bilik-bilik darjah dan asrama mula dipenuhi pelajar-pelajar. Maulana Sharif dan kakitangannya semakin sibuk menguruskan pelajar-pelajar yang semakin ramai itu.

Namun, takdir Allah sentiasa mengatasi perancangan makhluk yang lemah kerana pada 7 Mac 2016, warga MTDIM dirundung kesedihan lantaran tragedi kebakaran telah menimpa MTDIM. Kebakaran yang dianggarkan bermula pada jam 4.30 pagi itu memusnahkan 3 bilik domitori, pejabat, bilik guru, bilik setor, kedai sekolah dan 2 bilik aktiviti. Walau bagaimanapun, semua warga MTDIM terselamat dari kecederaan.


Walaupun MTDIM dilanda musibah besar, namun Maulana Sharif tetap menasihatkan semua kakitangan, para guru dan juga pelajar-pelajar agar tabah dan meneruskan perjuangan. Kelas tetap berjalan seperti biasa. Bilik-bilik asrama yang masih ada disusun kembali untuk menempatkan pelajar-pelajar yang terlibat dalam kebakaran.

Pautan:
bernama.com

Bangun Semula Dari Keruntuhan

Di sebalik musibah, MTDIM kini bersemangat baru untuk bangun. Maulana Sharif menyatakan keinginannya untuk mencari tapak yang lebih besar supaya fasiliti sekolah yang lebih baik dapat dibina. Sebidang tanah seluas 5 ekar diperlukan bagi merealisasikan projek pembinaan sekolah tahfiz yang baru.

Anggaran perbelanjaan telah mula dikira dan diteliti. Dana-dana mula dikumpulkan bagi mencapai tujuan baru ini. MTDIM mengalu-alukan sumbangan berbentuk infaq atau wakaf dari mana-mana badan atau orang perseorangan. Sesungguhnya semua perbelanjaan ini akan dikira oleh Allah menjadi sedekah jariah yang memberi manfaat berterusan.